Sunday 15 November 2015

PETIKAN DARIPADA MSTAR ONLINE

Tebusan Dari Sarawak Mati Dipenggal


Bernard Then.

KOTA KINABALU: Pelancong dari Sarawak, Bernard Then yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf telah dibunuh di selatan Filipina.
Kepalanya dipercayai dipenggal kumpulan tersebut kira-kira pukul 4 petang di kepulauan Jolo.
Then merupakan tebusan Malaysia pertama yang dipenggal kumpulan militan Abu Sayyaf.
Brigadier Jeneral Alan Arrojado,  Komander Pasukan Petugas Bersama Sulu mengesahkan Then telah dipenggal.
Sumber tentera dan pekerja sosial di Filipina menunjukkan jurutera elektrik berusia 39 tahun itu dibunuh kumpulan Abu Sayyaf ketika mereka cuba mengelak operasi ketenteraan Filipina di kawasan Butaran Hill di sekitar Kampung Indanan, Jolo.
Menurut sumber itu, kumpulan tersebut menembak Then kerana dia memperlahankan usaha mereka untuk melarikan diri.
Namun, pekerja sosial di Jolo mendakwa kumpulan tersebut merancang untuk mendedahkan satu video pemenggalan kepala dalam masa terdekat.
Mereka berkata telah menerima berita pemenggalan itu tetapi belum dapat mengesahkan siapa pemimpin Abu Sayyaf yang melakukan pembunuhan tersebut.
Then dipercayai berada dalam tebusan kumpulan yang diketuai Indang Susukan.
Buat masa ini, pegawai Filipina masih belum mengesahkan insiden itu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata mereka masih belum menerima apa-apa berita mengenai Then.
Then diculik bersama dengan pengurus restoran Thien Nyuk Fun, 50, dari restoran Ocean King Seafood di Sandakan pada 15 Mei lalu.
Thien dibebaskan pada 8 November lalu dan kembali ke pangkuan keluarganya di Sandakan.

Pemandu Teksi Hantar Pulang Kanak-Kanak Terima Anugerah Khas SPAD


Hanizan (tengah) menerima ucapan tahniah oleh Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar.

KUALA LUMPUR: Pemandu teksi Hanizan Mohamed Radzi yang menghantar pulang mangsa culik berusia lima tahun pada Oktober lepas, menerima anugerah Kategori Khas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Hanizan, 42, diberikan anugerah itu kerana kejujuran dan keprihatinannya menghantar pulang kanak-kanak berkenaan yang menjadi mangsa culik di Sungai Dua, Kajang dekat sini setelah menemui mangsa bersendirian di tepi jalan.

Beliau kemudian menghantarnya pulang ke rumah kanak-kanak itu setelah  mengecam gambarnya yang menjadi viral menerusi media sosial.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar menyampaikan anugerah itu kepada Hanizan, dan ia merupakan antara tiga anugerah baharu yang diperkenalkan.

Dua lagi ialah Anugerah Terminal Pengangkutan Awam dan aplikasi "Meter-On Ratings".

Antara pemenang lain adalah Sani Limited Berhad (kategori bas ekspress), Handal Indah Sdn Bhd (kategori bas henti-henti), Colombia Leisure (kategori bas persiaran) Rapid Rail Sdn Bhd (kategori penyedia jalan keretapi) dan KTM Berhad (kategori inovasi perkhidmatan keretapi).

Syed Hamid dalam ucapannya turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas komitmennya mewujudkan SPAD untuk mengendalikan transformasi pengangkutan awam di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Majlis itu diadakan bersempena simposium Pengangkutan Awam Darat yang bertajuk 'Journey into the Future: Building People Centric Mobility' yang akan diadakan esok.

Shah Alam, Subang Dilanda Banjir Kilat Lagi

Diterbitkan: Selasa, 17 November 2015 6:39 PM

SHAH ALAM: Beberapa kawasan di Shah Alam dan Subang dilanda banjir kilat buat kali kedua pada Selasa.
Seksyen 13 dan Seskyen 9 di Shah Alam dinaiki air semula selepas hujan lebat berterusan sejak pukul 3.30 petang Selasa.
Kedua-dua kawasan itu turut dilanda banjir kilat pada Isnin, menyebabkan laluan berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan ringan.
Pergerakan trafik agak perlahan di sepanjang Persiaran Sukan manakala jalan sesak di persimpangan Bukit Jelutong.
Menara jam lama Subang di Lebuhraya Persekutuan turut dinaiki air menyebabkan laluan sesak di sepanjang jalan menuju ke Lapangan Terbang Lama Subang dekat Citta Mall.

Siasatan Dana Politik RM2.6 Bilion Ambil Masa



KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dana politik RM2.6 bilion yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil masa kerana ia melibatkan transaksi dan saksi di luar negara.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang kesimpulan mengenai kes itu kerana siasatan baru berjalan beberapa bulan sedangkan ada kes yang mengambil masa sehingga sembilan tahun untuk diselesaikan.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan oleh SPRM bagi menentukan jika terdapat kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Selain itu, Najib akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan perdana menteri pun telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut, katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa berkaitan Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Razali berkata walaupun siastan masih belum selesai, SPRM telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa dana RM2.6 bilion itu adalah derma dan bukannya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata kebiasaannya SPRM tidak membuat sebarang pengumuman mengenai hasil siasatan kes yang belum selesai.

"Dalam kes ini (RM2.6 bilion) jangan kata boleh buat (pengumuman) pula, siasatan tidak boleh dikongsi kecuali dengan kebenaran AG (Peguam Negara) dan Pesuruhjaya SPRM. Pengumuman terpaksa dibuat kerana derma yang dimaksudkan bukan daripada 1MDB," katanya.

Beliau berkata pengumuman awal yang dibuat itu juga adalah berdasarkan dokumen yang diperoleh SPRM daripada pihak yang terlibat.

Katanya, selain itu SPRM juga berjaya mendapatkan pengakuan daripada pihak yang menyalurkan sumbangan dana politik berkenaan.

Dalam pada itu, Razali berkata pengurangan peruntukan untuk SPRM dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam Bajet 2016 tidak akan memberi kesan kepada prestasi kedua-dua suruhanjaya berkenaan.

"Kebanyakan kementerian alami pengurangan (peruntukan) tapi walaupun ada pengurangan kita tidak akan berkompromi sehingga menjejaskan operasi mereka," katanya.

Bola Sepak Malaysia Tak Maju Kerana Jurulatih Bodoh Sombong

PENGARAH Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim mendedahkan jurulatih-jurulatih di negara ini bersikap bodoh sombong dan ego untuk bertukar idea.
Jurulatih-jurulatih tempatan hanya bekerja di dalam negara sahaja, dan apa 'level' bola sepak Malaysia? Dan kerana itulah mereka jangan ego untuk berkongsi pengalaman dengan pakar-pakar yang ada di sini.
Jelasnya, melalui perbincangan seseorang itu boleh belajar. Namun sebaliknya berlaku kerana berfikiran sempit.
Tambahnya, kenapa perlu ada perasaan bongkak dengan kebolehan sendiri.

Lim Teong Kim Buka Rahsia Program Pembangunan Bola Sepak Negara


PENGARAH Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim mendedahkan bahawa pemain-pemain muda yang terpilih menyertai projek DNA bola sepak negara ini mempunyai prestasi yang baik.
Mengulas mengenai pemain-pemain Bawah 13 Tahun yang berpeluang mengikuti beberapa program jelajah di luar negara, Teong Kim, 52, mengakui mereka menghadapi masalah kompleks rendah diri.
Teong Kim juga mendedahkan kejayaan seseorang pemain bukan sahaja bergantung kepada kemahiran, tetapi perlu ada etika dan kalau ada hanya kemahiran tetapi tidak ada sifat-sifat tersebut, seseorang pemain itu tidak akan berjaya seperti pemain terbaik Eropah.
Mengambil contoh sikap dan etika pemain Jerman, Thomas Mueller yang pernah dilatihnya ketika menjadi penolong jurulatih di kelab remaja Bayern Munich sebelum ini, Teong Kim mendedahkan kejayaan pemain berusia 26 tahun disebabkan mempunyai etika kerja yang  baik.
Pemimpin Hadiri Sidang Asean Dikawal Ketat UTK Bukit Aman


KUALA LUMPUR: Barisan pemimpin dunia yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean akan dikawal ketat Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman.
Pasukan tersebut ditugaskan untuk melindungi keselamatan pemimpin dari Amerika Syarikat (AS), Rusia, China, Jepun dan India yang akan berada di ibu negara pada minggu ini.
Komander UTK, SAC Datuk Hazani Ghazali berkata selain ditugaskan untuk melindungi tujuh pemimpin 'berisiko tinggi', anggotanya juga akan bersiap sedia sebagai pasukan tindak balas krisis.
Dengan 300 pegawai dan anggota bertugas sepanjang sidang kemuncak itu, Hazani berkata UTK telah menjalani latihan sejak beberapa bulan lalu untuk mengasah kemahiran mereka.

"Kami melatih anggota kami dalam pelbagai aspek termasuk kemahiran pemanduan dan bagaimana untuk menangani ancaman keganasan. Kami juga dilatih untuk pemindahan segera sekira berlaku kecemasan," katanya dalam satu temubual bersama The Star.

Hazani Ghazali.
Selepas latihan selama beberapa bulan, Hazani berkata masih terdapat beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan tetapi secara keseluruhannya, beliau berpuas hati.

"Berdasarkan maklumat risikan, tiada ada sebarang ancaman tetapi anggota saya bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan. Yakinlah bahawa mereka akan mengawal ketat semua pemimpin yang ditugaskan untuk mereka lindungi.

"Keselamatan mereka adalah keutamaan kami," katanya.

Hazani berkata pasukannya berada dalam keadaan berwaspada.
"Kami akan melindungi semua pemimpin ini daripada sebarang ancaman asing atau domestik dengan apa jua sekalipun," katanya.
Beliau berkata, anggota yang dipilih merupakan mereka yang mempunyai potensi besar untuk berdepan operasi berisiko tinggi.

"Kami hanya menurunkan anggota terbaik untuk memastikan sidang kemuncak berjalan dengan lancar," katanya.

Sejak awal penubuhannya, taktik dan pengaruh utama UTK berasal dari Jerman “Grenz­schutz­gruppe 9 der Bundespolizei” atau lebih dikenali sebagai GSG 9.

Unit tersebut turut dipengaruhi taktik yang digunakan Bahagian Aktiviti Khas, satu bahagian di bawah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat.

PARIS: Penyerang yang mengakibatkan 129 terkorban dalam tembakan dan pengemboman di kota raya ini berpecah kepada tiga pasukan bersenjata yang lengkap dengan senapang dan bahan letupan berkuasa tinggi.
Satu daripadanya melepaskan tembakan secara rambang ketika konsert rock sedang berlangsung.
"Setakat ini, hasil siasatan mendapati penyerang yang bertindak kejam itu berpecah kepada tiga kumpulan.
Tujuh pengganas maut susulan tindakan jenayah mereka itu," kata Pendakwa Raya Paris, Francois Molins pada sidang media.
Molin juga mengesahkan pihak berkuasa Perancis mempunyai fail keselamatan melibatkan seorang daripada penyerang yang maut itu, seorang warganegara itu yang mempunyai rekod jenayah tetapi belum pernah menjalani hukuman penjara.
Pendakwa raya berkata, buruan terhadap suspek juga membabitkan negara jiran, Belgium selepas rakyat Perancis menyewa kereta yang digunakan dalam serangan itu dikesan bersama dua yang lain di sempadan negara itu pada Sabtu pagi.
Ketiga-tiganya ditahan pihak berkuasa Belgium, bagaimana tiada di antara mereka yang diketahui pihak risikan Perancis.
Selain itu, katanya, 352 yang lain didapati cedera dengan sekurang-kurangnnya 99 mengalami kecederaan serius.


No comments:

Post a Comment